SYDNEY — Seorang lelaki maut dan seorang lagi dimasukkan ke hospital selepas sebuah helikopter terhempas di kawasan terpencil di Australia.

Polis di negeri New South Wales (NSW) di Australia berkata dalam satu kenyataan, penumpang lelaki yang dipercayai berusia 40-an itu dirawat oleh kru ambulans tetapi meninggal dunia di tempat kejadian.

Juruterbang, seorang lelaki berusia 39 tahun, dirawat kerana cedera ringan sebelum dibawa ke hospital di Melbourne.

Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan dengan helikopter Super Puma berdaftar AS apabila ia terhempas sejurus sebelum tengah hari waktu tempatan pada Jumaat dekat bandar kecil One Tree, kira-kira 600 km barat Sydney dan 400 km utara Melbourne, di NSW.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, pihaknya menerima isyarat kecemasan daripada helikopter itu kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan. Sebagai tindak balas, AMSA menghantar pesawat penyelamat dan helikopter ambulans udara untuk memulakan pencarian.

Sebuah pesawat terjun udara tempatan yang membantu pencarian mengesan lokasi nahas.

Helikopter yang terhempas itu sedang dalam perjalanan antara bandar NSW Broken Hill dan Albury, perjalanan kira-kira 680 km, pada masa nahas itu.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia berkata ia akan menyiasat nahas itu.

XINHUA