KUALA LUMPUR — Dua belas pegawai dan anggota polis Kedah yang didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani semalam digantung tugas serta-merta.
Arahan itu dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kepada Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, dengan Tindakan mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 akan diambil.
“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Kedah untuk menggantung (tugas) pegawai dan anggota ini dengan segera.
“Penyelia juga akan dipindahkan dari jawatan semasa kerana mereka tidak layak untuk menguruskan anak buah mereka,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tangkapan 12 pegawai dan anggota itu dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIP) Bukit Aman.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata pegawai dan anggota polis sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat.
“Kita ditugaskan untuk menegakkan undang-undang dan bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan orang awam. Pegawai dan anggota polis harus sentiasa bertindak mengikut undang-undang.
“Tiada kompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati melakukan jenayah dan masalah disiplin,” katanya.
Tegas beliau, pihaknya juga tidak akan melindungi ‘buah buruk’ yang boleh mencemarkan nama pasukan polis dan akan mengambil tindakan tegas.
“Jadikan ini sebagai amaran keras. Pegawai dan anggota polis diberi amanah untuk menegakkan undang-undang, tetapi itu tidak bermakna anda berada di atas undang-undang.
“Kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang terhadap anggota yang didapati melakukan sebarang kesalahan jenayah dan tidak akan berdiam diri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad, berkata serbuan itu dilakukan susulan maklumat diterima pihaknya.
“Dalam serbuan berkenaan 31 individu ditahan dan 12 daripadanya pegawai dan anggota polis kerana positif dadah.
“Siasatan lanjut dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Petani. Sampel kedua ujian air kencing akan diambil dan dihantar ke pihak patalogi hospital bagi proses tahan kerja,” katanya.
BH ONLINE