PETALING JAYA — Dua belas syarikat berkaitan GISB Holdings (GISBH) dikenakan kompaun keseluruhan RM4.4 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana gagal menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan masing-masing.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kompaun itu dikeluarkan baru-baru ini selepas siasatan dilakukan SSM mendapati semua syarikat terbabit tidak mematuhi tanggungjawab berkenaan.
Selain 12 entiti perniagaan itu, katanya, terdapat 17 syarikat lain menggunakan nama ‘GISB’ dalam pendaftaran SSM.
Beliau berkata, semakan data serta laman sesawang berkaitan ‘GISB’ atau ‘Ikhwan’ pula mendapati sebanyak 201 perniagaan boleh dikaitkan dengan GISBH.
“Antara tanggungjawab syarikat setiap tahun ialah perlu mengemukakan penyata kewangan mereka yang telah diaudit. Siasatan SSM mendapati 12 syarikat ini tidak patuh dengan tanggungjawab menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan,” katanya.
Beliau yang ditemui pemberita selepas majlis perasmian TikTok Shop Seller Summit 2024, di sini hari ini.
Dalam isu GISBH, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi perundangan dan ketidakpatuhan terhadap akta berkaitan oleh rangkaian perniagaan mereka.
BH ONLINE-BERNAMA