KUCHING — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman tiga individu termasuk dua guru besar sekolah rendah di sebuah daerah di negeri ini kerana disyaki membuat tuntutan mengandungi butiran mantan palsu bernilai kira-kira RM500,000.

Majistret Ong Kork Chern membenarkan dua suspek yang berusia 50 dan 60-an ditahan reman lima hari sehingga 25 Ogos ini selepas menerima permohonan SPRM di Mahkamah Sibu, hari ini.

Seorang lagi suspek yang berusia 50-an pula ditahan reman empat hari sehingga 24 Ogos ini.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki itu ditahan kira-kira jam 10 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sibu.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan itu sekitar tahun 2022.

“Kesemua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu untuk kerja-kerja penyelenggaraan sistem telaga tiub di empat sekolah sekitar negeri ini kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedangkan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut tidak dilaksanakan kerana sistem telaga itu rosak sejak tahun 2021,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

BH ONLINE

LATEST POSTS