KUALA LUMPUR — Dua lelaki warga Colombia didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan pecah masuk rumah ahli perniagaan dan mencuri pelbagai barangan bernilai RM7 juta, di Bukit Damansara, Mei lalu.

Kedua-dua penganggur itu, Yeyson Andres Rocha Garzon, 39, dan Julian David Serna Pena, 22, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama individu yang bebas didakwa melakukan pecah rumah milik seorang lelaki berusia 45 tahun dan mencuri barang bernilai RM7 juta di rumah ahli perniagaan itu di Jalan Setia Murni, Bukit Damansara, di sini pada jam 10 malam, 31 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh didenda dan jika kesalahan itu ialah mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan hingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan itu dilakukan kali kedua atau kemudian boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Siti NurSyuhada Abd Rauf tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kedua-dua tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon tempoh untuk mengemukakan representasi.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos depan untuk serahan dokumen dan representasi.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, dilaporkan berkata pihaknya menahan enam lelaki warga asing dan dua wanita tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun di sekitar ibu negara, selain di Bangkok, Thailand.

Katanya, tangkapan itu adalah susulan kejadian pecah rumah seorang ahli perniagaan di Bukit Damansara yang mengalami kerugian kira-kira RM7 juta pada 31 Mei lalu.

Rusdi berkata, polis turut merampas pelbagai barangan kes termasuk 29 utas jam tangan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.5 juta, 97 unit barang kemas dianggarkan bernilai RM2.5 juta serta wang tunai RM4,550.

Kumpulan penjenayah yang dilengkapi alat ‘jammer’ (penyekat) kamera litar tertutup (CCTV) itu dikesan menyewa kenderaan untuk ke kediaman yang dikenal pasti, sebelum mengumpil pintu masuk rumah berkenaan.

BH ONLINE