BUTTERWORTH — Polis menembak mati dua penjenayah di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Terdahulu, lelaki masing-masing berusia 41 dan 54 tahun yang menaiki Perodua Myvi itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di persimpangan Jalan Pokok Sena menghala Jalan Permatang Baru.

Berikutan itu, polis meminta pemandu kereta memberhentikan kenderaan, namun suspek enggan dan memecut laju sebelum bertindak melepaskan beberapa das tembakan.

Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri sebelum kedua-dua suspek didapati berlumuran darah dan meninggal dunia di lokasi.

Polis turut menemui dua pistol serta peluru di dalam kereta yang dinaiki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Difahamkan, kedua-dua suspek berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya 12 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

BH ONLINE