KUCHING — Dua pegawai agensi penguat kuasa ditahan reman untuk siasatan selepas disyaki meminta rasuah kira-kira RM10,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap beberapa pekerja warga asing di sebuah syarikat.
Perintah reman lima hari sehingga 10 September ini dikeluarkan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali ke atas dua suspek berusia lingkungan 30-an itu selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuching, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua mereka dipercayai meminta rasuah itu daripada seorang pemilik syarikat berikutan beberapa pekerja warga asing disyaki tidak mempunyai permit kerja sah.
Mereka ditahan antara jam 7 petang hingga 8.30 malam semalam di sebuah restoran makanan segera di Sri Aman.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
BH ONLINE