TANGKAK – Perjalanan pulang dua sepupu untuk bersiap menunaikan solat Jumaat berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah lori yang diparkir tepi jalan dalam kemalangan di Taman Bandar Baru, Bukit Gambir, di sini, hari ini.
Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 1 tengahari menyebabkan Muhammad Farhan Danial Mohd Fauzi, 17, dan Muhammad Afiq Rusyaidi Abdul Rashid, 18, cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Lebih menyedihkan kemalangan itu berlaku hanya kira-kira 200 meter dari rumah bapa Allahyarham Farhan Danial yang ketika itu dua bersaudara dalam perjalan pulang untuk berehat.
Kedua-dua mangsa bekerja di tapak semaian baru selesai menikmati makan tengahari sebelum mereka bergerak pulang ke rumah untuk persiapan menunaikan solat Jumaat.
Berdasarkan maklumat penduduk taman berdekatan, lori terbabit diparkir di tepi jalan sejak beberapa hari lalu.
Penduduk, Hanafi Taib, 47, memberitahu kedua-dua mangsa bekerja di sebuah tapak semaian dalam perjalanan pulang ke rumah memandangkan waktu rehat.
“Kedua-dua mereka disyaki tidak menyedari lori terbabit sebelum merempuh bahagian belakang. Mereka meninggal dunia di lokasi dan jenazah kini berada di Hospital Tangkak untuk bedah siasat.
“Jenazah kedua-dua sepupu akan dikebumikan malam ini. Farhan Danial akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Panchor, Muar manakala Afiq Rusyaidi di Bukit Gambir,” katanya.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Mohd Khalid Mohd Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.28 tengahari.
Katanya, seramai enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamatkan mangsa.
“Pasukan membuat pemantauan di sekitar lokasi bagi memastikan keadaan selamat sebelum menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
BH ONLINE