ISLAMABAD — Dua askar, lima orang awam dan tiga pengganas terbunuh dalam serangan pengganas di wilayah Khyber Pakhtunkhwa barat laut Pakistan, kata satu kenyataan tentera pada Selasa.

Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), sayap media tentera Pakistan, berkata sekumpulan pengganas menyerang pusat kesihatan luar bandar di kawasan Kirri Shamozai di daerah Dera Ismail Khan di wilayah itu.

Pengganas melepaskan tembakan membabi buta ke atas kakitangan pusat kesihatan itu, membunuh lima orang yang tidak bersalah, membabitkan dua pekerja kesihatan wanita, dua kanak-kanak dan seorang penjaga, kata kenyataan ISPR.

Ia menambah bahawa pasukan keselamatan berhampiran segera digerakkan untuk operasi pembersihan, dan dalam berbalas tembakan berikutnya, anggota tentera dengan berkesan memerangi pengganas, membunuh tiga pengganas di tempat kejadian.

Bagaimanapun, semasa pertempuran sengit, dua askar turut kehilangan nyawa, kata ISPR sambil menambah bahawa pembersihan kawasan sedang dijalankan untuk menghapuskan pengganas lain yang ditemui di kawasan itu.

Xinhua