SYDNEY – Dua wanita mati lemas dalam kemalangan berasingan di negeri Queensland di timur laut Australia.

Polis Queensland berkata pada Rabu, seorang wanita yang hilang di sungai barat laut Brisbane pada Selasa telah ditemui mati.

Wanita berusia 53 tahun itu terjatuh ke dalam air yang bergerak laju kira-kira jam 2.30 petang waktu tempatan dan tidak muncul semula, mencetuskan operasi mencari melibatkan helikopter, dron dan kru penyelamat air.

Dia ditemui mati pada petang Rabu. Polis Queensland berkata kematian itu dianggap sebagai tidak mencurigakan.

Terdahulu pada Rabu, seorang wanita maut dalam insiden selam skuba.

Jurucakap Perkhidmatan Ambulans Queensland berkata lima kru dihantar ke Wave Break Island, tempat berenang, snorkeling dan menyelam yang popular 60 km tenggara Brisbane, selepas wanita itu ditarik tanpa respons dari lautan pada kira-kira 10:10 pagi.

Kru ambulans merawat wanita itu tetapi dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Lebih daripada 30 orang telah mati lemas di seluruh Australia sejak permulaan musim panas pada 1 Disember, menurut data daripada Royal Life Saving Australia.

XINHUA