ADEN, Yaman, 21 Jan – Seramai 20 pendatang Ethiopia, membabitkan sembilan wanita dan 11 lelaki, terbunuh apabila bot mereka terbalik di pantai selatan Yaman pada hujung minggu, lapor Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) pada Selasa.

Bot itu, yang membawa 35 pendatang Ethiopia bersama seorang kapten Yaman dan pembantunya, dilaporkan berlepas dari kawasan Hammarta di Djibouti dan terbalik pada malam Sabtu “di tengah-tengah angin bermusim kencang” dekat Al-Hajjajah di daerah Dubab, pentadbiran Taiz, kata IOM dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa mangsa yang terselamat telah sampai ke pantai.

“Tragedi ini adalah peringatan yang menyedihkan tentang keadaan berbahaya yang ditanggung oleh pendatang dalam mencari keselamatan dan kehidupan yang lebih baik,” kenyataan itu memetik Ketua Misi IOM di Yaman Abdusattor Esoev sebagai berkata.

“Masyarakat antarabangsa mesti mengukuhkan keazamannya bagi menangani punca penghijrahan yang tidak teratur dan mengutamakan perlindungan dan maruah pendatang,” kata Esoev.

Perairan pantai Yaman adalah antara yang paling berbahaya di dunia. Menurut statistik IOM, lebih 60,000 ketibaan pendatang di Yaman telah didokumenkan pada 2024 sahaja. Sejak 2014, 3,435 kematian dan kehilangan telah direkodkan di sepanjang Laluan Timur, termasuk 1,416 kehilangan nyawa kerana lemas.

Pada Selasa, seorang pegawai kerajaan Yaman, bercakap kepada Xinhua dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, mengesahkan “kejadian itu berlaku beberapa hari lalu” dan berkata berpuluh-puluh orang telah meninggal dunia, tanpa memberikan angka korban secara spesifik.

XINHUA