BEIRUT – Sekurang-kurangnya 24 pejuang, kebanyakannya daripada kumpulan disokong Turki, terbunuh dalam pertempuran dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish di daerah utara Manbij, kata pemantau perang pada Khamis.
Keganasan itu membunuh 23 pejuang disokong Turki dan seorang anggota Majlis Ketenteraan Manbij yang bersekutu dengan SDF, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
Pemantau perang berpangkalan di Britain itu berkata, pertempuran terbaharu itu dicetuskan oleh serangan pejuang disokong Ankara ke atas dua pekan di selatan Manbij.
Bahagian utara Syria dikawal oleh pentadbiran diketuai Kurdish yang mana tentera de factonya, SDF disokong AS, menerajui perjuangan yang membantu mengusir kumpulan Daesh dari wilayah terakhirnya di Syria pada 2019.
Turkiye menuduh komponen utama SDF, Unit Perlindungan Rakyat (YPG), bergabung dengan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang kedua-duanya disenaraihitamkan Washington dan Ankara sebagai kumpulan pengganas.
Pertempuran telah berlaku di sekitar bandar Manbij yang majoriti penduduknya Arab, dikawal oleh Majlis Tentera Manbij, sekumpulan pejuang tempatan yang beroperasi di bawah SDF.
Menurut pemerhati itu, “pertempuran berterusan ke selatan dan timur Manbij, manakala tentera Turki membedil kawasan itu dengan dron dan artileri berat”.
SDF berkata ia menangkis serangan oleh kumpulan disokong Turki di selatan dan timur Manbij.
AN-AFP