KUALA SELANGOR – Polis menahan tiga lelaki termasuk warga emas bagi membantu siasatan bersabit dua kes rogol berasingan di Jeram, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, berkata kes pertama membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dirogol bapanya.

“Polis menerima laporan daripada ibu kandung mangsa jam 8.29 malam.

“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 33 tahun itu bercerai dengan pengadu pada Februari 2022. Mangsa tinggal bersama suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azaharudin berkata, kanak-kanak malang itu dibenarkan tinggal bersama ibunya pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Beliau berkata, pada jam 7 malam semalam mangsa memaklumkan kepada pengadu bahawa suspek melakukan hubungan seks dengannya.

“Hasil laporan dibuat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menahan suspek,” katanya.

Satu lagi kes membabitkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang didakwa dirogol datuk serta bapa saudaranya masing-masing berusia 66 dan 21 tahun.

Azaharudin berkata, laporan dibuat datuk saudara mangsa jam 7.38 malam selepas remaja perempuan itu mengadu padanya.

“Dua suspek ditahan dan siasatan lanjut mendapati mereka mempunyai hubungan persaudaraan,” katanya.

Semua suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 7 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

BH ONLINE