LA PAZ, 20 Jan – Sebuah kenderaan penumpang terjunam dari lebuh raya ke dalam gaung sedalam 150 meter di barat Bolivia, menyebabkan tiga orang maut dan tiga lagi cedera, lapor jabatan bomba tempatan pada Isnin.

Menurut ketua jabatan bomba di La Paz, Pavel Tovar, kereta terbabit dalam perjalanan dari pekan Caranavi ke bandar La Paz ketika kemalangan itu berlaku.

Penyelamat dari jabatan bomba dan polis tiba di tempat kejadian untuk membantu mangsa yang cedera, yang dikejarkan ke Hospital Arco Iris di La Paz, di mana mereka menerima rawatan khusus kerana kecederaan yang teruk.

Pengarah Bomba Kebangsaan, Gonzalo Velasco, berkata pihak berkuasa sedang menyiasat kemalangan itu dan mengesyorkan pemandu di kawasan itu berhati-hati kerana keadaan cuaca buruk seperti kabus dan hujan lebat.

“Kenderaan terbabit terjunam ke dalam jurang dan pemandunya adalah salah seorang yang cedera,” katanya.

XINHUA