BENTONG — Tiga lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 42, Lebuh raya Pantai Timur (LPT) arah timur, dekat Bukit Tinggi pada jam 4.13 pagi ini.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Ridzuan Zulkafly, 40, Muhamad Zaimi Shariff, 39, and Muhammad Azizul Fitrie Md Zaire, 23.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kemalangan itu membabitkan empat kereta, lori 3 tan, dan dua treler dengan satu daripadanya terbakar sepenuhnya.
Katanya, dalam kemalangan itu turut membabitkan 13 mangsa.
“Tiga lelaki yang meninggal dunia dan disahkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah pemandu dan kelindan lori tiga tan dan seorang lagi dalam kereta yang terbabit dalam nahas berkenaan.
“Tiga mangsa cedera parah, dua lagi cedera manakala lima individu terselamat,” katanya.
Katanya, mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, seorang jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bentong berkata, kemalangan tersebut membabitkan kenderaan dari kedua-dua arah.
Beliau berkata, sebuah treler yang membawa muatan konkrit dari Kuala Lumpur menuju ke Bentong dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar lori tiga tan dari arah sama.
“Treler terbabit kemudian dikatakan melanggar pembahagi jalan mengakibatkan tiang konkrit jatuh di lorong bertentangan (menuju ke Kuala Lumpur),” katanya.
BH ONLINE