JERUSALEM – Tentera Israel mengumumkan pada Rabu, tiga askarnya terbunuh dan seorang pegawai cedera parah semasa serbuan di utara Semenanjung Gaza.
TV Kan milik negara Israel melaporkan askar terbunuh apabila kereta kebal mereka melanggar alat letupan kuat di Beit Hanoun, utara Gaza.
Tiga askar dari Batalion Berperisai 46 Briged Jejak Besi itu “gugur semasa pertempuran,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Dua askar dikenali sebagai Matityahu Ya’akov Perel, 22, dari penempatan Tebing Barat Beit El, dan Kanaoo Kasa, 22, dari Beit Shemesh, sebuah bandar di barat Baitulmaqdis. Tentera tidak mendedahkan nama askar ketiga, kerana keluarga masih belum dimaklumkan.
Kematian terbaharu menjadikan jumlah askar Israel terkorban kepada 831 sejak permulaan perang pelbagai barisan negara pada Oktober 2023.
Menurut pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza, serangan Israel telah membunuh 45,936 orang dan mencederakan 109,274 yang lain di kawasan enklaf Palestin.
XINHUA