KUALA LUMPUR – Tiga rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Laos, selepas didapati cuba menyeludup lebih 100 bungkusan ganja seberat kira-kira 86 kilogram, pada 27 Mei lalu.
Menurut laporan The Laotian Times, tangkapan dijalankan pegawai kastam, pasukan keselamatan lapangan terbang dan beberapa agensi lain yang mengesyaki sesuatu mencurigakan terhadap tiga pelancong berkenaan ketika menjalani pemeriksaan rutin.
“Pihak berkuasa Laos merampas lebih 100 bungkusan ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada 27 Mei dan menahan tiga rakyat Malaysia yang disyaki cuba menyeludup dadah itu ke Jerman.
“Sebaik melakukan pemeriksaan terhadap enam beg pakaian milik suspek, pegawai menemui 103 bungkusan ganja disembunyikan dalam bagasi terbabit, dengan jumlah keseluruhan kira-kira 86 kilogram,” katanya memetik laporan media berkenaan.
Difahamkan, ketiga-tiga lelaki itu dijadual menaiki penerbangan Thai Airways menuju ke Jerman dan ganja itu dipercayai untuk diedarkan di negara berkenaan.
Semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan bakal didakwa mengikut peruntukan undang-undang Laos, manakala siasatan masih diteruskan.
Terdahulu, media hari ini melaporkan seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang ditahan itu dipercayai penyanyi rap dari negara ini, namun identitinya belum disahkan pihak berkuasa.
Rampasan itu adalah antara beberapa cubaan penyeludupan dadah yang berjaya dipatahkan di lapangan terbang sama sepanjang minggu lalu.
BH ONLINE