MARAN – Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki mengamuk maut dibelasah beberapa penduduk kampung di Felda Jengka 2, dekat Maran, Pahang semalam.

Lelaki berusia 57 tahun itu dikatakan mengamuk dan menikam seorang wanita berusia 52 tahun bersama anak saudaranya yang berusia 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai mengesahkan penahanan empat lelaki berusia antara 18 hingga 49 tahun itu, selepas lelaki mengamuk terbabit disahkan meninggal dunia.

Mengulas kejadian semalam, katanya seorang lelaki bertindak agresif mencederakan dua jirannya menggunakan senjata tajam sebelum maut dipercayai dibelasah beberapa penduduk kampung yang cuba menahannya.

“Dalam kejadian itu, seorang wanita cedera dengan kesan tikaman pada perut, selain kesan tikam pada tangan kanan dan kecederaan pada dagu, manakala remaja lelaki yang juga anak saudaranya cedera pada paha kanan akibat ditikam.

“Sehingga kini wanita terbabit masih dirawat di Hospital Jengka, manakala anak saudaranya sudah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di hospital sama,” katanya mengesahkan lelaki yang mengamuk itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Jengka.

Susulan perkembangan itu, beliau berkata polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan.

“Pihak forensik sudah menemui pisau digunakan dalam kejadian itu dan kita sedang menunggu laporan bedah siasat yang akan dijalankan pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, pagi esok.

“Selepas mendapat keputusan bedah siasat, kita akan mulakan siasatan terhadap empat lelaki yang kini ditahan reman itu,” katanya.

BH ONLINE


Facebook Posts