ALOR GAJAH — Hujan lebat berterusan selama enam jam mengakibatkan beberapa kawasan di Masjid Tanah dilanda banjir kilat.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim, berkata hingga jam 4 petang tadi empat kawasan iaitu Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar, Taman Masjid Tanah Ria dan Durian Daun terjejas.
Selain kawasan perumahan, bencana itu turut membabitkan Pekan Masjid Tanah yang tenggelam hingga hampir satu meter.
“Kita kini dalam proses memindahkan mangsa yang terjejas ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Balai Raya Paya Lebar dan PPS Balai Raya Seri Tanjung.
“Jumlah mangsa yang terbabit belum dapat dikenal pasti dan operasi menyelamat sedang diteruskan selain pemantauan paras air turut dilakukan,” katanya.
Sementara itu, mangsa banjir Khairul Anwar Mansol, berkata hujan lebat berterusan bermula sejak 5 pagi sehingga menyebabkan kediamannya dinaiki air hingga paras pinggang.
“Saya hanya mampu selamatkan dokumen penting sahaja kerana air tiba-tiba sahaja masuk dan memenuhi ruangan dalam rumah pada jam 10 pagi.
“Ini adalah kejadian pertama yang berlaku di taman perumahan saya dan untuk waktu ini saya bersama isteri serta tiga anak tumpang berteduh di sebuah kedai berdekatan yang lokasinya agak tinggi,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir yang juga penternak lembu, Muhammad Nabil Irfan Ibrahim, 22, berkata, air mula memenuhi kandang lembunya yang terletak di Kampung Ramuan China Besar, kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas hujan lebat mula turun pada 7 pagi.
“Mujurlah saya cepat sampai dan dapat melepaskan kesemua 20 ekor lembu yang berada di dalam kandang. Walaupun terpaksa meredah air di paras dada ketika itu tetapi saya tekad redah untuk pastikan lembu peliharaan dapat diselamatkan,” katanya.
BH ONLINE