KOTA KINABALU — Empat lelaki yang disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan selepas kegiatan mereka dikesan pasukan keselamatan berhampiran Pulau Sepanggar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sejumlah 400 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis serta peralatan bahan letupan disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, berkata bot dirampas pada jarak hampir 0.17 batu nautika timur laut Pulau Sepanggar.
“Menyedari kehadiran bot ronda maritim, empat lelaki atas bot pam nekad terjun ke laut dan berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak diperiksa.
“Pemeriksaan atas bot ditinggalkan menemui beberapa peralatan lain berserta pelbagai spesis ikan dengan anggaran kira-kira 400kg dipercayai dibom,” katanya melalui kenyataan media.
BH ONLINE