KUCHING — Lima pemancing dan tiga kru ditemukan selamat selepas bot mereka

dilaporkan hilang di perairan Kuching sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata bot berjaya dikesan tengah hari tadi sebelum ditunda dan tiba di jeti Semariang Batu, di sini pada jam 5.25 petang tadi.

“Pada jam 1.45 tengah hari tadi, rakan kumpulan pemancing itu berjaya menghubungi mereka.

“Bot pemancing itu kemudian berjaya ditemui di kedudukan 38 batu nautika di barat laut Belawai dan tiga kru serta lima pemancing semuanya selamat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohd Farhan berkata, laporan kehilangan bot pemancing itu pada jam 3.46 petang semalam yang dibuat oleh anak seorang pemancing.

“Dalam laporan itu pengadu memaklumkan kumpulan pemancing itu ke laut pada jam 9 pagi, 29 Oktober lalu dengan sebuah bot pancing yang bernombor pendaftaran QKH 9848 Z dan sepatutnya balik pada petang 31 Oktober.

“Bagaimanapun, sehingga semalam mereka tidak balik dan laporan polis dibuat sebelum SAR diaktifkan membabitkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya sambil memaklumkan pencarian dilakukan sehingga perairan Paloh di Belawai dalam Bahagian Mukah.

Menurutnya lagi, bot berkenaan mengalami masalah enjin ketika mereka dalam perjalanan balik pada 31 Oktober menyebabkannya hanyut di laut.

Mangsa dikenal pasti sebagai Husin Ayub, 67; Samarin Sharkawi, 33; Mohamad Haikal Sharkawi, 17; Mohd Azizi Hamzi,17; Dahlan Ramli, 41; Hasrin Ismail,53; Johari Bujang,51 dan Abdullah Ajek, 56.

BH ONLINE