IPOH – Lima rumah di Jalan Budiman, Kampung Tengku Hussein Baru, Gugusan Manjoi, di sini terbakar malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.45 malam tadi.
Kebakaran bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan atau kematian.
“Turut terbakar adalah empat motosikal,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Menurutnya lagi, api dapat dikawal jam 8.47 malam tadi, dengan operasi ditamatkan jam 11.38 malam tadi.
Sementara itu, insiden kebakaran lima rumah itu turut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri menerusi hantaran serta perkongsian bergambar di Facebook (FB) malam tadi.
“Perkhabaran duka lima buah rumah terbakar di Jalan Budiman, Kg Tengku Hussien Baru Manjoi. Pusat Khidmat Rakyat ADUN Manjoi bersama orang kampung sudah turun membantu mangsa kebakaran serta menyampaikan sedikit bantuan awal makanan,” katanya dalam hantaran itu.
Insiden kebakaran turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun apabila ia turut dikongsikan menerusi hantaran di Facebook Ahli Parlimen Tambun – Anwar Ibrahim malam tadi.
Susulan insiden berkenaan wakil Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun bersama ketua kampung dan pemimpin masyarakat turun bersama menyantuni keluarga yang ditimpa musibah.
“Ucapan terima kasih atas tindakan pantas pihak keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengawal kebakaran agar tidak merebak, serta agensi yang berkaitan dalam memastikan keselamatan penduduk.
“Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa terbabit dan didoakan agar tabah menghadapi dugaan ini,” menurut hantaran itu.
BH ONLINE