PASIR PUTEH — Kira-kira 50 penduduk di Kampung Banggol Pak Esah terpaksa berlindung di masjid selepas kediaman mereka dinaiki air lebih satu meter sejak malam tadi.

Penduduk menyelamatkan diri ke Masjid Al Majeed selepas kawasan rumah mereka terkepung oleh air setinggi 1.2 meter akibat hujan lebat tanpa henti sejak jam 9 malam tadi.

Penduduk, Azrin Mohamad, 46 berkata, mereka terpaksa mencari kawasan tinggi memandangkan air naik terlalu cepat selain lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil 2 agak jauh dari kampung berkenaan.

“Buat sementara, penduduk berlindung di masjid kerana bimbang hujan makin lebat dan memburukkan keadaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini media melaporkan keresahan penduduk Kampung Banggol Pak Esah yang berdepan risiko banjir akibat pembinaan projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Projek berkenaan menyebabkan laluan utama sungai terkandas dan kampung yang sebelum ini bukan lokasi banjir mula ditenggelami air sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan kementerian yang terbabit untuk mengambil tindakan segera.

“Namun nampaknya akan mengambil masa yang agak lama memandangkan kerjasama antara Malaysia dan syarikat China Communications Construction Co Ltd (CCCC) adalah bersifat terhad dan tertentu.

“Ini menyebabkan perjumpaan dengan wakil ECRL sebelum ini tiada apa-apa tindakan diambil, apapun saya akan terus berjuang untuk kepentingan penduduk kampung,” katanya yang turut meminta penduduk berpindah ke PPS dan berwaspada ketika musim banjir.

BH ONLINE