BATU PAHAT — Tujuh warga Nepal yang terbabit dalam pergaduhan menggunakan kayu hingga video terbabit tular di media sosial, didenda RM1,000 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mereka ialah Yadav Saroj Kumar, 25; Alam Md Zuber, 31; Miya Jasim, 38; Miya Mumtaj, 34; Das Tatma Kishnanandan, 26; Miya Nasarudin, 37, dan Thapa Gogal, 31, dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Hindi, mereka didakwa bergaduh di tempat awam di hadapan sebuah syarikat penghantaran barang, di Jalan Ceria 5, Taman Sri Saga, di sini, 9.30 malam, 25 Ogos lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama iaitu penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai pergaduhan sekumpulan lelaki warga asing selepas video terbabit tular di media sosial.

Kumpulan terbabit bergaduh dipercayai berpunca tindakan lelaki lain mengganggu teman wanita salah seorang tertuduh.

Ini mengakibatkan tertuduh tidak berpuas hati dan memanggil rakan lain hingga tercetus pergaduhan. Siasatan polis turut menemui kayu yang digunakan dalam pergaduhan itu.

Susulan itu, kesemua tertuduh berjaya ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 seorang dan memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan terhadap mereka.

BH ONLINE

LATEST POSTS