Polis Kelantan kekang kemasukan dadah Fentanyl jadikan penagih seperti zombi

KOTA BHARU — Polis Kelantan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengekang kemasukan dadah jenis baharu dikenali sebagai Fentanyl yang sangat berbahaya kerana mempunyai kesan 100 kali lebih kuat daripada dadah heroin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata sudah ada cubaan membawa masuk dadah jenis ini yang dikesan 20 hingga 40 kali lebih kuat daripada morfin ke Kelantan, namun usaha itu tidak berjaya.

Katanya, pengambilan dadah Fentanyl ini boleh menyebabkan penagihnya berubah menjadi seperti ‘zombi’ jika dicampur dengan dadah lain.

“Kawalan ketat yang dibuat di sempadan negeri ini dapat mengekang kemasukan dadah Fentanyl yang sangat berbahaya ini daripada memasuki negara menerusi Kelantan.

“Malah, kita juga sudah mengadakan perbincangan lebih terperinci mengenai keselamatan sempadan dengan Perwakilan Parlimen Thailand pada 26 April lalu yang antara lain bertujuan mengekang kemasukan dadah Fentanyl ke sini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Berdasarkan maklumat, Fentanyl adalah dadah sintetik diperbuat daripada campuran herba, bahan kimia toksik, pembasmi kuman dan tulang mayat manusia yang berada di bawah tanah yang mengandungi kesan sulfur dan mampu meningkatkan kesan khayal kepada penggunanya, sekali gus merosakkan otak mereka.

Muhamad Zaki berkata, pihaknya difahamkan dadah ini dibawa masuk di sempadan Myanmar-Thailand dan lokasi itu disifatkan sangat dekat dengan Malaysia yang memerlukan usaha dilakukan bagi mengelak ia memasuki negara ini.

Susulan itu, beliau berkata, polis akan terus berusaha menghalang kemasukan Fentanyl dan bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya, semua pihak terutama ketua polis daerah, ketua kampung, wakil rakyat dan masyarakat perlu bekerjasama memainkan peranan masing-masing ke arah itu.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page