KOTA KINABALU — Seorang lelaki menunggu bantuan kira-kira 40 minit selepas van membawa jenazah bapa mentua rosak dan tersadai di tepi jalan di antara Kundasang dan Tamparuli.
Mereka dua beranak menuju Bongawan tetapi bapa mentuanya meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari Sandakan, pagi tadi.
Ketika tersadai, menantu mangsa meminta bantuan ke lokasi mereka melalui Facebook Live menggunakan akaun Facebook Mohd Ariff Ahmad.
Menantu lelaki itu berharap jika ada van jenazah dapat membawa jenazah mentuanya, berdekatan simpang Jalan Bypass Ranau-Kota Belud.
Sebuah ambulans dari Hospital Tuaran tiba selepas siaran Facebook Live berkenaan dan petugas kesihatan mengesahkan kematian.
Mohd Ariff dalam perkongsiannya di Facebook memaklumkan, pegawai perubatan meminta beliau menguruskan sendiri untuk membawa pulang jenazah.
Katanya, beliau menghubungi kawan untuk membantu mendapatkan van jenazah dan sebuah kenderaan jenazah yang menyediakan perkhidmatan secara percuma tiba dari Putatan.
Kenderaan itu membawa jenazah bapa mentuanya pulang ke Bongawan untuk diuruskan dan akhirnya dikebumikan oleh keluarganya di Bongawan, petang tadi.
BH ONLINE