KOTA KINABALU — Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar ke kebunnya di Kampung Tambilidon, Pitas, semalam.
Mangsa Adau Tangas, 83, dikatakan ke kebun berkenaan pada pagi semalam dan tidak pulang sehingga hari ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.30 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Marcelius Junus digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi pencarian dibahagikan kepada tiga sektor dan setiap sektor berkeluasan kira-kira empat hektar.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini dijalankan di sektor pertama yang dibantu oleh penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Riki berkata, operasi SAR ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula pada esok.
BH ONLINE