SUBANG JAYA — Polis menembak mati seorang lelaki warga asing di Jalan PJS 9/1 di sini, petang tadi yang disyaki mendalangi 45 kes samun bersenjata sejak 2018 membabitkan kerugian RM8 juta.

Dalam kejadian jam 6.59 petang itu, mangsa yang memandu sebuah kereta Hyundai Matrix ditembak mati sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata sebelum insiden berbalas tembakan, anggota polis yang berjaya mengesan suspek mengarahkan suspek berhenti namun enggan dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis.

Katanya, suspek yang bersenjatakan pistol jenis Revolver melepaskan lima das tembakan ke arah polis dengan dua tembakan mengenai kenderaan polis sebelum pihak polis melepaskan tembakan balas dan mengenai suspek.

“Suspek berusia lewat 30-an dan berasal dari sebuah negara di benua Afrika mati ditembak di tempat kejadian.

“Kita percaya suspek terbabit dengan kumpulan samun bersenjata api yang kita mula jejaki sejak 2018 dan setakat ini, kita percaya kumpulan ini mendalangi 45 kes dengan kerugian RM8 juta.

“Dua kes terbaharu dikesan berlaku tahun ini dan masih dalam siasatan membabitkan kerugian RM320,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, modus operandi kumpulan ini adalah dengan mengiklankan khidmat transaksi menerusi media sosial termasuk menjual barang kemas, pertukaran wang asing serta beberapa perniagaan lain.

“Suspek kemudian akan mengajak mangsa berjumpa, kebiasaannya di hotel untuk menjalankan transaksi dan selepas itu akan mengajak mangsa menaiki kenderaan bersama untuk membuat transaksi seterusnya.

“Ketika dalam perjalanan itu, mereka akan memberhentikan kenderaan sebelum beberapa suspek lain bersenjatakan sama ada parang atau senjata api masuk ke dalam kereta seterusnya menyamun mangsa. Itu modus operandi yang kita dapat kenal pasti setakat ini,” katanya.

Kumpulan itu dikesan aktif melakukan samun bersenjata api di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur

Suspek berjaya dikesan hasil risikan polis Kuala Lumpur sebelum operasi mengesan suspek diselaras Bukit Aman dengan bantuan polis Selangor.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya kini sedang memburu kira-kira 10 lagi rakan subahat suspek yang ditembak mati itu dan kesemua mereka dipercayai berasal dari negara sama.

“Kita percaya suspek sudah berada di negara ini sejak 2018 dan kita masih jalankan siasatan lanjut mengenai status keluar masuk dia di negara ini,” katanya.

Beliau berkata mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

BH ONLINE