MELAKA — Kegembiraan lima rakan meraikan cuti hujung minggu bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut, manakala dua cedera dalam kemalangan lima motosikal di Jalan Persisiran Pantai Klebang, di sini, awal pagi tadi.
Nahas berlaku kira-kira jam 3 pagi dan mangsa Muhammad Amirul Mohd Sukri,20, beralamat di KM17 Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, di sini, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan mendapati ketika kejadian si mati yang juga penuntut Kolej Komuniti Masjid Tanah bersama empat penunggang lain dalam perjalanan dari arah pusat Bandar Melaka menghala ke Klebang.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa bergesel sesama sendiri sewaktu cuba mengelak lopak air di lorong kiri.
“Akibat kemalangan itu, Muhammad Amirul yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC terjatuh di atas jalan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di muka serta kepala.
“Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
“Dua penunggang masing-masing berusia 19 tahun mengalami luka seluruh badan dan dirawat di zon hijau, manakala dua lagi tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, semua kenderaan terbabit dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Kenderaan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menentukan punca kemalangan.
“Setakat ini kita sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan kerana tiada sistem kamera litar tertutup di lokasi kemalangan.
BH ONLINE