SUNGAI PETANI — Muhammad Aiman Safwan Mahadzir, 25, yang hilang selepas terjatuh ke sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda ditemui lemas hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata mayat mangsa ditemui terdampar di pantai pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh jam 11.50 pagi.
“Operasi hari ini turut membabitkan enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Kedah yang melakukan pencarian di permukaan air dengan jarak 1.5 hingga dua batu nautika sejak jam 10.03 minit pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, ibu mangsa Rosnah Razali, 48, berkata anak sulung dari tiga beradik itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Januari depan dan persiapan akhir sudah siap dilakukan.
“Aiman seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan malah semua orang sayangkan kerana sifatnya yang suka tolong orang,” katanya.
Tunang mangsa, Nur Farhana Abd Syukur, 23, berkata pada hari kejadian mereka sepatutnya pergi ke Klinik Kesihatan Taman Intan untuk menjalani saringan HIV.
“Kali terakhir dia balas kiriman WhatsApp saya pada jam 11.30 pagi dan Aiman beritahu bersiap untuk ke sana.
“Kira-kira jam 1 tengah hari, ibu Aiman menghubungi saya dan beritahu yang dia jatuh sungai menyebabkan saya terkejut dan bergegas ke sini,” katanya.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, pada Ahad.
Bagaimanapun keadaan ombak kuat Dan laut bergelora dan hujan lebat menyukarkan operasi pencarian menyebabkan operasi disambung semalam dan hari ini.
BH ONLINE