KULIM — Seorang wanita dilapor dihanyutkan arus deras di Taman Eco Rimba, Sungai Sedim, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan, berkata panggilan berhubung kejadian diterima jam 4.02 petang.
Katanya, A Kasthuri, 41, dilaporkan dibawa arus deras yang dipercayai berpunca akibat kepala air.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi Tech diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Fuad Harun bersama lima anggota dan dua anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Operasi digerakkan di permukaan air sekitar kawasan sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan. hari ini.
Difahamkan, ia adalah kejadian kepala air kedua dalam tempoh kurang sebulan.
Pada 13 Oktober lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun yang mandi bersama beberapa rakan dihanyutkan air deras sebelum ditemui lemas kira-kira dua hari kemudian.
BH ONLINE