KLANG — Seorang ahli perniagaan produk kecantikan didenda RM4,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengakses dan menyimpan bahan lucah.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Chai Kien Tung, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Kien Tung juga berdepan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda dikenakan dan tertuduh membayarnya.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, lelaki berkenaan didakwa mengakses dan menyimpan dalam milikannya bahan lucah seperti video atau gambar dalam dua telefon bimbit.

Kesalahan itu dilakukan di bilik kawalan sebuah kondominium di Kota Bayuemas kira-kira jam 12.10 tengah malam semalam dan sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, mangsa ternampak sebuah telefon bimbit dari atas sebuah bilik tandas menghala ke arah mangsa ketika sedang mandi.

Pengadu keluar dari tandas dan berjumpa pengurusan kondominium itu bagi memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan didapati tertuduh lari keluar dari tandas berkenaan.

Mangsa juga mengesyaki tertuduh mengambil videonya ketika mandi sebelum membuat laporan polis.

Peguam Nur Husnina Ahmad menyatakan anak guamnya masih bujang dan bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu serta menanggung ibu bapa serta nenek yang sakit.

Katanya, tertuduh juga berulang alik ke Sarawak atas urusan kerja dan memohon maaf serta insaf tidak akan mengulanginya.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya NurulJannah Aimi.

BH ONLINE