KAMPAR — Identiti tiga mangsa lemas semasa melakukan aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng, petang tadi dikenalpasti sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dua mangsa lelaki ialah Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, yang bertugas di JKR Langkawi, manakala mangsa wanita iaitu Suhaili Mat Saad, 47, berkhidmat di JKR Seberang Perai Tengah.

Identiti ketiga-tiga mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata, mangsa wanita berasal dari Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

“Mohamad Khairul Hakim berasal dari Ayer Hangat, Langkawi manakala Muhammad Ikram berasal dari Taman Permata, Jitra, Kedah,” katanya.

Berdasarkan tinjauan di Hospital Kampar, mayat ketiga-tiga mangsa tiba di Unit Forensik sekitar jam 9.55 malam dengan dibawa kenderaan polis.

Terdahulu, dilaporkan mangsa adalah antara 22 peserta yang menyertai aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng sempena program ‘Team Building’ yang diiringi enam pemandu pelancong.

Difahamkan, kesemua peserta turun ke kawasan sungai bermula jam 3.30 petang yang mana jarak perjalanan ‘rafting’ adalah enam kilometer (km) menyusuri sungai.

Dikatakan, mangsa dihanyutkan arus di selepas empat km perjalanan menyusuri sungai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dipetik berkata, seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.56 petang.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, tiga mangsa terbabit sudah dinaikkan orang awam ke tebing sungai dan disahkan meninggal dunia.

BH ONLINE