PASIR GUDANG — Pasangan suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta yang disyaki dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada jam 4 pagi itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario yang dinaiki pasangan itu dengan kereta Perodua Alza.

Katanya kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

“Sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat lampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan tanpa berhenti walaupun lampu isyarat masih merah, menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

“Pada masa sama, motosikal menunggang pasangan sedang meneruskan perjalanan menghala ke bandar Pasir Gudang, menyebabkan pelanggaran.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun dan pembonceng, wanita berusia 35 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, pemandu kereta berkenaan, lelaki berusia 34 tahun, ditahan kerana dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.

“Ujian air kencing juga dilakukan dan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah. Siasatan masih lagi diteruskan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian.

BH ONLINE