WASHINGTON — Kanak-kanak membentuk hampir 40 peratus daripada lebih 3.4 juta penduduk Myanmar yang kehilangan tempat tinggal akibat perang saudara dan cuaca ekstrem didorong oleh perubahan iklim, kata agensi PBB untuk kanak-kanak pada Khamis.
Myanmar telah bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan dipilih Aung San Suu Kyi pada 2021 dan melancarkan tindakan keras yang mencetuskan pemberontakan bersenjata menentang pemerintahan junta.
Negara Asia Tenggara itu turut dilanda Taufan Yagi pada September, mencetuskan banjir besar yang mengorbankan lebih 400 orang dan memaksa ratusan ribu orang meninggalkan rumah mereka.
“Krisis kemanusiaan di Myanmar mencapai titik perubahan kritikal, dengan konflik yang meningkat dan kejutan iklim meletakkan kanak-kanak dan keluarga pada risiko yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata timbalan pengarah eksekutif UNICEF Ted Chaiban dalam satu kenyataan pada Khamis.
“Lebih 3.4 juta orang telah kehilangan tempat tinggal di seluruh negara, hampir 40 peratus daripadanya adalah kanak-kanak.”
Junta sedang memerangi penentangan bersenjata yang meluas terhadap rampasan kuasa 2021, dan askarnya telah dituduh melakukan amuk berdarah dan menggunakan serangan udara dan artileri untuk menghukum masyarakat awam.
Pertempuran itu, serta kejadian iklim yang teruk seperti Taufan Yagi, telah memberi “impak yang dahsyat” kepada kanak-kanak, kata Chaiban, menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal, terdedah kepada keganasan serta terputus daripada penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Dia berkata tujuh kanak-kanak dan dua orang awam lain terbunuh pada 15 November dalam serangan yang melanda kawasan gereja Kachin di mana kanak-kanak bermain bola sepak.
Negeri Kachin utara Myanmar adalah tanah air Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA), salah satu daripada pelbagai kumpulan bersenjata etnik minoriti yang memegang wilayah di utara dan sedang memerangi junta.
Sekurang-kurangnya 650 kanak-kanak telah terbunuh atau cedera dalam keganasan di negara itu tahun ini.
Kanak-kanak bawah umur juga membentuk kira-kira satu pertiga daripada lebih 1,000 orang awam yang terkorban akibat periuk api dan sisa-sisa letupan perang, menurut Chaiban.
“Peningkatan penggunaan senjata maut di kawasan awam, termasuk serangan udara dan periuk api yang melanda rumah, hospital, dan sekolah, telah mengehadkan dengan teruk ruang selamat yang sudah terhad untuk kanak-kanak, merampas hak mereka untuk keselamatan,” katanya.
Sebelas orang terbunuh minggu lalu apabila sebuah kedai teh di Myanmar terkena serangan udara tentera di bandar Naungcho di utara negeri Shan, kata kumpulan bersenjata etnik tempatan.
AN-AFP