BATU PAHAT — Ajaran Millah Abraham didakwa cuba menubuhkan negara sendiri dengan membina struktur pentadbiran hingga ke tahap berjawatan ‘menteri’.

Kegiatan itu berjaya dihidu hasil pemantauan polis dari Cawangan Khas termasuk penahan seorang pengikut ajaran itu Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Khaled, berkata hasil pemantauan itu mendapati ajaran terbabit berisiko mengancam keselamatan serta menggugat keharmonian negara.

Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil untuk mengesan pengikutnya di seluruh negeri.

“Hasil pemantuan dan risikan Jabatan Agama dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka mempunyai struktur mereka sendiri dan sampai satu peringkat untuk menubuhkan negara dan kerajaan sendiri.

“Jadi kita tidak mahu pertubuhan ini bercambah dan keahlian mereka bertambah kerana mereka boleh mencetuskan perpecahan dan keharmonian negara.

“Kita bimbang menimbulkan sebarang kekecohan kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara ala Millah Abraham,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan ke-15 di Universiti Tub Hussein Onn (UTHM), di sini, hari ini.

Mohd Fared berkata, kepimpinan ajaran sesat Millah Abraham wujud di seluruh negara dan diburu pihak berkuasa bagi mengekang kumpulan itu.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai tidak menyimpan apa-apa bahan termasuk buku berkaitan Millah Abraham kerana ia menjadi kesalahan mengikut peruntukan undang-undang.

“Kita membuat pemantauan terhadap pengikutnya atau mana-mana individu yang memiliki bahan cetakan, sebarang buku yang mengandungi ajaran itu, jika tidak pasti nasihat saya jangan terima, simpan laporkan kepada jabatan agama ataupun polis,” katanya.

Rabu lalu, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an disyaki pengikut Millah Abraham bertaraf ‘menteri’ dalam hierarki ajaran sesat itu, ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Pahat.

Sebelum itu, pada 6 Ogos lalu, seorang imam dan guru penolong kanan dilaporkan antara 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama serta memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

Mereka terdiri daripada 11 lelaki serta tiga wanita berusia 19 hingga 70 tahun yang didakwa secara berasingan atas satu atau dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 (1) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.

Ajaran itu difatwakan haram pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Antara fahaman salah ajaran sesat itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.

BH ONLINE

LATEST POSTS