KUALA SELANGOR — Seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala ibunya parah dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang, dekat Kampung Kuantan, di sini, hari ini.

Kemalangan pada jam 2 petang itu membabitkan kereta sebuah kereta dan lori.

Mangsa yang maut dikenali sebagai penumpang hadapan kereta, Nur Arissa Safiyya Mohd Azril, 8, dari Kampung Kenangan, Rantau Panjang, Serdang, Kedah.

Kanak-kanak itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.

Manakala ibunya, Norshaniza Mohamad Nayan, 34, yang juga seorang guru dan pemandu lori berusia 58 tahun, masing-masing parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Tanjong Karang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki guru wanita bersama anak perempuannya itu dalam perjalanan dari Bestari Jaya ke Kuala Selangor.

“Tiba di lokasi iaitu semasa melalui selekoh, kereta mangsa disyaki hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, lori yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta terbabit,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mohd Ambia berkata, akibat pertembungan itu, Nur Arissa Safiyya mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang.

Menurutnya, proses bedah siasat sudah dijalankan dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

BH ONLINE