NEW DELHI, 23 Jan – Angka kematian dalam kemalangan kereta api di negeri barat India Maharashtra meningkat kepada 13 orang, kata polis pada Khamis.

Menurut polis, 15 orang cedera dalam kemalangan itu, 10 daripadanya masih dirawat di hospital.

Daripada 13 yang maut dalam kemalangan itu, polis setakat ini hanya dapat mengenal pasti lapan.

Kemalangan itu berlaku petang Rabu selepas beberapa penumpang turun dari kereta api berikutan insiden penarikan rantai penggera. Mereka kemudiannya dilanggar oleh kereta api lain di Pachora daerah Jalgaon, kira-kira 425 km timur laut Mumbai, ibu kota Maharashtra.

Siasatan awal polis berkata, seseorang telah menarik rantai penggera kereta api itu menyebabkan ia terhenti. Takut kebakaran di dalam kereta api, ramai penumpang turun ke landasan bersebelahan, tetapi dirempuh oleh kereta api lain yang lalu.

Ketua Menteri Maharashtra Devendra Fadnavis melahirkan rasa dukacita atas kematian dalam kemalangan itu dan mengumumkan bantuan kewangan untuk mangsa.

XINHUA