PONTIAN — Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menegaskan beliau hanya menyuarakan rintihan dan kegusaran pengguna Malaysia Airlines (MAS) dan orang awam, susulan beberapa insiden teknikal membabitkan syarikat penerbangan berkenaan.
Katanya, beliau langsung tidak berniat menuding jari dan mencari kesalahan termasuk kerajaan mahu pun mempersoal profesionalisme MAS dan Malaysia Aviation Group (MAG).
“Saya bangkitkan isu itu (isu teknikal pesawat Malaysia Airlines) dengan sebaiknya dan hanya meminta kerajaan dan Kementerian Pengangkutan menyiasat perkara itu serta membantu MAS, supaya kejadian sama tidak berulang lagi.
“Apa dosa saya bila saya sebut macam itu. Kita hanya merayu dan menyeru, tetapi akhirnya saya pula dikatakan mencetuskan panik padahal penjelasan yang diberi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, minggu lalu yang membuatkan rakyat Malaysia menjadi panik dan tergamam.
“Saya bersuara sebab pengguna MAS dan orang awam membuat aduan kepada saya minta suarakan kebimbangan mereka. Terimalah pandangan dan dengarlah komen-komen rakyat.
“Saya tiada niat lain bila menyuarakan isu itu kerana saya juga kerap menggunakan perkhidmatan MAS dan apabila rakyat suarakan kegusaran mereka, segeralah ambil tindakan membetulkan keadaan kerana nyawa rakyat perlu diutamakan. Hendak marah saya, tak mengapa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Sayap Pemuda dan Wanita MCA, di sini, hari ini
Pada 26 Ogos lalu, Loke dilaporkan menggesa Ka Siong supaya tidak membuat orang ramai panik susulan kritikannya terhadap isu teknikal pesawat MAS.
Katanya, dakwaan Ka Siong isu gangguan penerbangan yang dialami MAS menyebabkan berlakunya krisis keyakinan, sebagai kenyataan yang tidak seharusnya dibangkitkan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kata Loke juga sudah melaksanakan audit khas terhadap beberapa insiden membabitkan pesawat MAS dengan penemuan daripada audit terbabit dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, Rabu lalu.
MAG menerusi kenyataan minggu lalu dilaporkan memaklumkan syarikat berkenaan akan mengurangkan rangkaian penerbangannya untuk sementara waktu sehingga Disember ini.
Langkah itu juga sebagai susulan kepada gangguan penerbangan pada 19 Ogos lalu yang membabitkan perkhidmatan MAS, Firefly dan Amal.
Sebelum ini, Ka Siong dilaporkan berkata Loke tidak sepatutnya membuatkan krisis keyakinan terhadap MAS berterusan kerana ia boleh menjejaskan reputasi negara dan berpotensi mengundang kerugian.
Ia susulan beberapa insiden yang membabitkan pesawat syarikat itu termasuk kes terbaru pesawat dari Kuala Lumpur ke Shanghai berpatah balik susulan masalah tekanan kabin.
Presiden MCA itu juga dilaporkan menyenaraikan tujuh lagi insiden yang berlaku sepanjang tahun ini.
BH ONLINE