RIYADH – Arab Saudi memperbaharui pendiriannya pada Rabu bahawa tidak ada hubungan dengan Israel tanpa negara Palestin.
Pendirian teguh Arab Saudi mengenai penubuhan negara Palestin tidak boleh dirunding dan tidak tertakluk kepada kompromi, kata Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan.
Negara itu akan meneruskan usaha tanpa henti untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, dan tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tanpa itu, katanya.
Negara itu juga mengesahkan penolakan tanpa ragu-ragu terhadap sebarang pelanggaran hak sah rakyat Palestin, sama ada melalui dasar penempatan Israel, pengilhakan tanah, atau percubaan untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah mereka, katanya.
“Mencapai keamanan yang berkekalan dan adil adalah mustahil tanpa rakyat Palestin memperoleh hak mereka yang sah mengikut resolusi antarabangsa, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini kepada pentadbiran AS dahulu dan semasa,” tambahnya.
Kenyataan Saudi itu menyusuli kenyataan Presiden AS Donald Trump pada Selasa dalam sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang melawat, mengatakan Amerika Syarikat akan mengambil pemilikan Semenanjung Gaza dan membangunkannya semula selepas penduduk Palestin dipindahkan ke tempat lain.
XINHUA