SUBANG JAYA – Seramai 137 penduduk di beberapa kawasan di Selangor terjejas akibat kejadian banjir kilat yang berlaku awal pagi tadi.
Selain itu, satu kes kematian turut dilaporkan membabitkan seorang warga asing.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihak berkuasa sudah pun menggerakkan usaha pemantauan serta memberikan bantuan segera di lokasi terbabit.
“Satu kes kematian dilaporkan membabitkan seorang warga asing di Sri Muda akibat renjatan elektrik.
“Difahamkan, mangsa terkena renjatan elektrik ketika berada di kawasan yang dinaiki air,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyalurkan bantuan pendidikan berupa wang tunai, komputer riba dan power bank kepada pelajar yang juga mangsa tragedi letupan saluran gas Putra Heights di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mengambil langkah keselamatan segera dengan menutup bekalan elektrik di kawasan terjejas bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
Katanya, kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pihak berkuasa tempatan PBT) dalam usaha menyalurkan bantuan dan memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya diperlukan.
“Kawasan terjejas dan dikategorikan sebagai ‘hot spot’ termasuk Jalan Kebun, Kampung Bukit Lanjung, Kampung Tengah serta kawasan sekitar Kampung Baru HICOM, Meru dan SK Binjai.
“Hujan berlarutan selama lebih enam jam bermula tengah malam hingga pagi tadi.
“Berdasarkan keadaan semasa dan paras air yang semakin surut, dijangka tiada hujan lebat lagi hari ini dan penduduk mungkin boleh pulang ke kediaman masing-masing selewat-lewatnya esok,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha pemindahan masih diteruskan khususnya bagi penduduk yang memerlukan bantuan segera.
“Keutamaan kita adalah keselamatan nyawa dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
BH ONLINE