SEREMBAN — Pekerja gudang syarikat penghantaran dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya berusia 14 tahun, September lalu.
Tertuduh, yang berusia 27 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 14 tahun manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati membuatkan kanak-kanak itu melakukan sentuhan fizikal ke atas tertuduh secara seksual bagi maksud seksual.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 10 pagi di sebuah rumah di Taman Seremban Jaya, di sini, pada 28 September lalu.
Tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dituduh dan dihukum di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak (AKSTKK) 2017
Apabila disabitkan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan masing-masing bagi Seksyen 14(a) dan 14(b) AKSTKK.
Tertuduh merayu hukuman penjara yang lebih ringan kerana berpendapatan RM2,000 sebulan sebagai pekerja gudang dan menanggung seorang anak, isteri, tiga adik serta bapa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga memaklumkan sudah berkahwin dengan ibu mangsa sejak tiga tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.
Nurul Balkis juga meminta mahkamah mengambil kira kepentingan mangsa yang juga anak tiri tertuduh yang masih bersekolah berbanding kepentingan tertuduh yang melakukan perbuatan yang sangat serius.
Dengan mengambil kira keseriusan perbuatan tertuduh dan pengakuan bersalah awal tertuduh, Surita menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 30 September lalu.
BH ONLINE