SHAH ALAM — Misteri kehilangan seorang lelaki yang baru lapan hari bekerja di sebuah kilang sawit di Jenjarom, Kuala Langat, dekat sini, terjawab dengan penemuan cebisan baju dan serpihan tulang manusia di atas timbunan serat sawit di premis terbabit.
Terdahulu mangsa, lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bekerja sebagai operator didapati tiada di lokasi selepas masuk semula untuk bekerja pada jam 1.50 petang semalam selepas keluar rehat, kira-kira 50 minit sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata rakan sekerja mangsa pula keluar rehat pada jam 2 petang dan masuk semula pada jam 2.30 petang dan mendapati lelaki terbabit tiada di lokasi dengan mesin serat tandan sawit beroperasi tanpa operator.
Katanya, pengadu kes itu, wanita tempatan yang bekerja sebagai pengurus kilang berkenaan bersama rakan sekerja berusaha mencari mangsa sebelum menjumpai kasut, cebisan baju dan serpihan tulang manusia di atas timbunan serat sawit pada hujung mesin penghantar, pada jam 5.57 petang semalam.
“Polis menerima laporan daripada wanita berkenaan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.15 malam tadi. Siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin memproses tandan sawit semasa memgendalikan mesin terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tubuh mangsa yang hancur bersama serpihan tulang dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan siasatan polis setakat ini tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes itu yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
BH ONLINE