Bayi 10 bulan maut terjatuh ketika dimandikan pengasuh

SUNGAI BULOH – Bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas dikatakan terjatuh ketika dimandikan pengasuh di Puncak Alam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata Balai Polis Saujana Utama menerima laporan jam 10.42 malam kelmarin oleh pegawai perubatan di Hospital UiTM Puncak Alam.

Menurutnya, laporan menyatakan pada jam 7.23 malam semasa pengadu sedang bertugas di zon merah kecemasan hospital, dia menerima seorang pesakit bayi perempuan berusia 10 bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Bayi perempuan itu dibawa dari sebuah klinik di Puncak Alam dengan menggunakan ambulans hospital.

“Pengadu dan doktor pakar kecemasan memberikan rawatan pernafasan dan ubatan terhadap bayi itu yang mengambil masa selama lebih kurang 22 minit, namun mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda bernafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis juga menerima satu laporan dibuat ibu kepada bayi terbabit yang menyatakan pada jam 5.40 petang dia menerima panggilan daripada pengasuh bayinya yang memaklumkan bayinya terjatuh dan didapati tidak sedarkan diri.

“Menurut pengasuh itu, kejadian berlaku semasa dia mahu memandikan bayi terbabit terjatuh mengiring sebelah kanan dan dalam keadaan sesak nafas.

“Pengasuh membawa bayi ke sebuah klinik di Puncak Alam,” katanya.

Mayat dibedah siasat di Hospital UiTM Puncak Alam dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga keputusan laporan bedah siasat diperoleh.

“Pengasuh terbabit juga sudah dirakam percakapan dan polis juga meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh hadir ke mana-mana balai polis yang berdekatan atau menghubungi hotline Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222 atau menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194,” katanya.

BH ONLINE