KOTA BHARU — Bayi lelaki berusia 30 hari meninggal dunia selepas diberi susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi itu di sebuah pusat jagaan ibu bersalin di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan di Kota Bharu Medical Centre (KBMC) di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 5.30 petang di sebuah pusat jagaan ibu bersalin di sini.
“Dalam kejadian itu, mangsa seorang bayi lelaki berusia 30 hari didapati tidak sedarkan diri selepas diberikan susu oleh seorang jururawat sebelum disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke KBMC.
“Susulan kejadian berkenaan, pihak polis menahan jururawat berusia 20-an yang ditugaskan menjaga bayi terbabit jam 6 petang tadi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap jururawat itu di Mahkamah Majistret esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
BH ONLINE