Bekas suami Siew Hong berhubung kes penukaran agama anak meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas suami Loh Siew Hong, Allahyarham Muhammad Nagashwaran Muniandy yang terbabit dengan pertikaikan berhubung pengislaman secara unilateral tiga anak pasangan itu, meninggal dunia semalam.

Kematian Allahyarham Muhammad Nagashwaran disahkan oleh peguam Siew Hong, J Gunamalar ketika dihubungi BH hari ini.

Menurut Gunamalar, Allahyarham Muhammad Nagashwaran sedang berdepan pertuduhan kes dera anak guamnya itu di Mahkamah Sesyen Sungai Petani Kedah.

Katanya, punca kematian lelaki berkenaan belum diketahui dan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sungai Petani telah dihantar ke hospital Alor Setar bagi bedah siasat kali kedua.

Pertikaian kes perebutan hak penjagaan anak pasangan berkenaan bermula apabila Allahyarham Muhammad Nagahswaran yang juga seorang mualaf, membawa tiga anak mereka ke Perlis dan menukar agama mereka kepada Islam secara sebelah pihak pada 2020.

Ketiga-tiga anak mereka ialah kembar perempuan kini berumur 17 tahun dan seorang lelaki berumur 13 tahun.

Ibu tunggal itu memohon semakan kehakiman pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonannya itu, Siew Hong antara lain memohon supaya anak-anaknya diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan memeluk agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Beliau memohon perisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan mendakwa bekas suaminya yang memeluk Islam, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenaran beliau.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan pada 10 Januari tahun lalu, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak berkenaan selepas membenarkan rayuan wanita terbabit.

Panel mendapati Mahkamah Tinggi tidak menyentuh dua isu termasuk sama ada penukaran agama anak Siew Hong secara unilateral adalah sah ketika prosiding semakan kehakiman.

Begitu juga persoalan sama ada Seksyen 117(b) Enakmen Perlis atau Enakmen 4 adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 11 Mei 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suami itu.

Hakim mendapati, tiada bukti agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu, dan ibu tunggal itu sendiri tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.

Pada 8 April lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Kerajaan Negeri Perlis untuk mengembalikan status agama Islam tiga anak Siew Hong.

Panel mendapati tiada merit dalam permohonan berkenaan, selain pemohon tidak memenuhi syarat ambang yang ditetapkan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Mahkamah tertinggi negara itu juga memutuskan bahawa tiada ketidakadilan berlaku dalam kes berkenaan.

.Kerajaan Negeri Perlis memfailkan permohonan semakan itu kepada Mahkamah Persekutuan pada 30 Oktober tahun lalu untuk mengetepikan keputusan terdahulu yang menafikan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lagi.

BH ONLINE