SERDANG — Dua lelaki yang dipercayai tidak berpuas hati selepas ditegur anggota polis kerana tidak memakai topi keledar bertindak membaling pasu bunga ke arah Balai Polis Serdang di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kedua-dua suspek dipercayai dalam keadaan mabuk membaling pasu bunga ke arah pagar balai polis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, berkata dua lelaki itu didapati berhenti di hadapan pintu pagar balai polis.
“Ketika anggota bertugas mahu bertanya, seorang daripada suspek yang juga pembonceng motosikal membaling pasu ke arah pagar sebelum melarikan diri.
“Motif kejadian disyaki akibat rasa tidak berpuas hati kerana pada jam 2.30 pagi anggota polis memberi amaran kepada sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
BH ONLINE