KAMPAR – Insiden sebuah kereta mengejar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 308 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, pagi semalam berakhir dengan kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
Difahamkan, insiden mengejar itu membabitkan perselisihan faham berkaitan hal keluarga di mana seorang lelaki memandu kereta Honda City bertindak mengejar adiknya yang dikatakan mengikut teman lelaki menaiki MPV jenis Proton Ertiga.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, berkata pihaknya menerima dua laporan mengenai kemalangan tiga kenderaan itu, jam 10.46 pagi semalam.
Beliau berkata, kemalangan itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa, namun siasatan awal mendapati terdapat unsur jenayah yang berlaku sebelum kemalangan berkenaan berlaku.
“Kejadian berlaku di lorong kanan lebuh raya apabila salah satu kenderaan itu didapati membrek secara mengejut menyebabkan ia dilanggar dari arah belakang oleh dua kenderaan lain.
“Kemalangan berpunca daripada perselisihan faham di antara dua kenderaan itu, dan berlaku aksi mengejar sebelum salah satu kenderaan membrek secara mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Nazri berkata, kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Selangor.
“Kes sudah dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang bagi tindakan selanjutnya. Siasatan awal mendapati terdapat unsur jenayah yang berlaku sebelum kemalangan ini.
“Benar (abang mengejar adik perempuan). IPD Kampar hanya ambil tindakan berkaitan kes kemalangan, manakala kes jenayah itu diambil tindakan IPD Serdang kerana kejadian bermula dari kawasan sana lagi,” katanya.
Mohamad Nazri turut menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, selain menggesa mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, tular di media sosial memaparkan kejadian sebuah Proton Ertiga berwarna putih dikejar Honda City dan secara tiba-tiba berhenti mengejut di tengah lorong lebuh raya mengakibatkan kemalangan beberapa kenderaan di belakang mereka.
BH ONLINE