KUCHING — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas sebuah bot pancing dilaporkan hilang.

Pengarah Maritim Malaysia, Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata laporan kehilangan bot berkenaan bersama tiga kru dan lima orang pemancing diterima Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching, pada jam 5 petang semalam.

Beliau berkata, identiti kesemua pemancing bersama kru sudah dikenal pasti iaitu Husin Ayub, 67; Samarin Sharkawi, 33; Mohamad Haikal Sharkawi, 17; Mohd Azizi Hamzi,17; Dahlan Ramli, 41; Hasrin Ismail,53; Johari Bujang,51 dan Abdullah Ajek, 56.

“Mereka menaiki sebuah bot pancing yang bernombor pendaftaran QKH 9848 Z telah keluar ke laut dari Jeti Semariang Batu kira-kira 9 pagi, Khamis lalu.

“Menurut maklumat yang diterima dari salah seorang anak mangsa, mereka sepatutnya pulang ke jeti pada Khamis (31 Oktober) pada jam 2 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sejurus menerima laporan itu, pihaknya mengatur gerak aset iaitu Bot Pengawal 42 bersama tujuh anggota untuk melakukan operasi pencarian di lokasi dalam radius 100 batu nautika persegi.

“Memasuki pencarian pada hari kedua, hari ini luas sektor lokasi pencarian adalah 533.80 batu nautika persegi.

“Pesawat CN325 daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)turut membantu melakukan pemantauan dari udara,” katanya.

BH ONLINE