Tidak sampai tempoh 24 jam perangkap dipasang, buaya di Taman Tasik Seksyen 7 di Shah Alam, berjaya ditangkap malam tadi, lapor BH Online.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh, dipetik sebagai berkata, buaya berkenaan dikesan memasuki perangkap sekitar jam 10.20 malam tadi.

“Buaya yang kita selamatkan malam ini adalah buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter berusia sekitar tiga hingga lima tahun dengan anggaran berat 15 hingga 20 kilogram.

“Ini adalah operasi menyelamatkan buaya paling pantas yang kita lakukan kerana tidak sampai tempoh 24 jam perangkap dipasang, ia sudah memakan umpan segar yang kita letak,” beliau dipetik sebagai berkata, pada sidang media di lokasi tangkapan.

Menurut Wan Mohd Adib, tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup taman tasik pada waktu malam bermula malam tadi juga mendorong reptilia itu memasuki perangkap kerana suasana sunyi dan tiada gangguan.

Katanya, PERHILITAN juga akan meminta MBSA terus menutup taman tasik itu pada waktu malam bagi tempoh sehari dua lagi bagi membolehkan pihaknya membuat pemantauan untuk memastikan tiada buaya lain di kawasan berkenaan.

“Buaya ini kita akan pindahkan ke Paya Indah Wetlands malam ini juga,” katanya dipetik.

Dilaporkan, operasi mengangkat naik perangkap haiwan reptilia itu bermula sekitar jam 11.25 malam dan kerja mengeluarkan buaya daripada perangkap itu selesai sepenuhnya jam 12.05 tengah malam.

Difahamkan dua perangkap buaya dipasang di tasik berkenaan bermula jam 10 pagi semalam bagi menangkap reptilia itu.

LATEST POSTS